Paramotor langgar kabel elektrik, lelaki disahkan cedera

Seorang peserta paramotor cedera ringan selepas dipercayai mengalami masalah teknikal pada mesin sehingga terlanggar kabel elektrik dan terhempas ketika Program Larian Antarabangsa Budaya Duyong 2025 di Melaka, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, mangsa terjatuh dari ketinggian sekitar 30 meter ke kawasan sawah di Kampung Ku Sayang, Bukit Baru, sebelum mengalami luka calar di bahagian pipi tanpa kecederaan serius.
Bagaimanapun, insiden tersebut tidak melibatkan kecederaan orang awam.
Kejadian itu berlaku melibatkan seorang daripada empat pengendali paramotor dari sebuah kelab di Selangor dan tular di media sosial ketika program berkenaan yang disertai lebih 20,000 peserta dari dalam dan luar negara.




