PN nafi dakwaan tak bertanding PRN Johor, Melaka dan Negeri Sembilan

Perikatan Nasional (PN) menafikan satu kenyataan media yang tular selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN semalam, yang mendakwa gabungan itu tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Menerusi satu hantaran ringkas di Facebook, PN menyifatkan kenyataan tersebut sebagai palsu dan tidak tepat. Kenyataan yang kononnya dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu turut mendakwa penggunaan logo dan bendera PN tidak dibenarkan dalam ketiga-tiga PRN berkenaan.
Kenyataan palsu itu juga mendakwa Majlis Tertinggi PN telah menggantung pengerusi serta ahli jawatankuasa PN negeri di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. Bagaimanapun, PN menegaskan bahawa dakwaan tersebut tidak benar.
Dalam mesyuarat yang berlangsung malam tadi, PN sebaliknya memutuskan untuk menerima Parti Wawasan Negara dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai anggota baharu gabungan itu.




