Rakyat Malaysia bercuti, belanja RM16.62 bilion guna kad kredit sempena cuti hujung tahun

Musim perayaan hujung tahun menyaksikan penggunaan kad kredit rakyat Malaysia meningkat mendadak dengan perbelanjaan tertinggi direkodkan secara konsisten pada bulan Disember.
Data Bank Negara Malaysia menunjukkan perbelanjaan kad kredit pada Disember adalah sekitar 19.3 peratus lebih tinggi berbanding bulan lain, didorong aktiviti membeli-belah, percutian, pembayaran bil serta bonus akhir tahun.
Sepanjang tempoh 2019 hingga 2024, purata perbelanjaan kad kredit pada Disember mencecah RM16.62 bilion sebulan, berbanding RM13.93 bilion pada bulan biasa, dengan jumlah kumulatif hampir RM100 bilion.
Disember juga mencatatkan bilangan transaksi tertinggi, iaitu sekitar 16 peratus lebih banyak berbanding bulan lain, melibatkan pembelian runcit, pengeluaran tunai dan transaksi luar negara.
Pakar kewangan mengingatkan orang ramai agar berbelanja secara berhemah bagi mengelakkan beban hutang berpanjangan apabila memasuki tahun baharu, terutama ketika perbelanjaan meningkat akibat bonus, cuti sekolah dan musim perayaan.




