RUU PSB: “Dia cadang, tapi dia bantah?” Nga Kor Ming kenal pasti 534 kawasan

Cadangan kawasan Pelaksanaan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang kini dipertikaikan sebenarnya telah lama dicadang dan diwartakan oleh kerajaan negeri, termasuk negeri pembangkang.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menegaskan 534 kawasan dikenal pasti, termasuk 22 tapak di Terengganu (2015) dan 55 tapak di Kedah (2018), namun kini ada pihak yang menentangnya.
Kor Ming menyifatkan ia tidak logik kerana kerajaan negeri sendiri yang mencadangkan dan mewartakan tapak tersebut, tetapi kini menolak pelaksanaan cadangan mereka.
“Okay, saya bagi fakta. 534 kawasan. Dekat negeri terengganu. 22 tapak telah dicadangkan oleh kerajaan negeri dan diwartakan.
“Bagi negeri Kedah, 55 tapak telah dicadangkan malah diwartakan, Terengganu diwartakan sejak 2015, 10 tahun duduk sana tak buat apa pun warta saja.
“Negeri Kedah, 2018 sudah warta sudah digazetkan untuk pembaharuan semula bandar tapi awak duduk sana tak buat apa? Adakah itu adil?
Katanya lagi, semua 500 rancangan pemajuan yang telah diwartakan adalah melibatkan Kuala Lumpur, (139), Kedah (55), Terengganu, (22), Kelantan (4), Selangor (66), Johor (35), Pahang (58), Pulau Pinang (5), Perak (85), Negeri Sembilan (49), Melaka (9) kawasan dan jumlahnya adalah 534.
“Ini semua dipersetujui oleh kerajaan negeri termasuk SG4 yang telah mengeluarkan kenyataan tolak fakta. Dia yang cadang, dia yang tolak-tolak! Aku tak tahulah macam mana nak kata apa ni.” tegasnya.
Kor Ming berkata Rang Undang-Undang (RUU) PSB akan memastikan penduduk, termasuk golongan B40 yang tinggal di kediaman usang dan daif, mendapat perlindungan lebih baik serta rumah baharu yang selesa.
Bacaan kali kedua RUU itu dijadualkan pada 6 Oktober sebelum diteruskan dengan bacaan kali ketiga bersama pindaan hasil perbincangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Jika diluluskan, RUU PSB dijangka diwartakan selewat-lewatnya 1 Januari 2026.




