Takkan terlepas, suspek rogol pelajar junior tetap akan dihukum – Azalina

Kerajaan memberi jaminan bahawa suspek kes rogol melibatkan pelajar sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka, akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut Kanun Keseksaan, tanpa sebarang pengecualian atas faktor usia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, menegaskan bahawa status bawah 18 tahun bukan alasan untuk pelaku terlepas daripada pendakwaan, sebaliknya proses perbicaraan hanya akan dijalankan di mahkamah yang bersesuaian mengikut umur.
Kenyataan itu dibuat susulan keputusan Kementerian Pendidikan membenarkan empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian tersebut untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 3 November ini.
Keputusan berkenaan dibuat atas pertimbangan hak pendidikan pelajar, walaupun mereka berdepan siasatan jenayah.
Empat suspek Tingkatan Lima itu kini direman selama enam hari sehingga Khamis bagi siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan berkaitan rogol secara berkumpulan. Mereka didakwa merogol bergilir-gilir seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga di dalam kelas sekolah sama pada minggu lalu.




