Warga emas didakwa bunuh 3 individu di Kota Tinggi

Seorang warga emas berusia 71 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas tiga pertuduhan membunuh dalam kejadian di sebuah restoran di Taman Kota Jaya pada 19 April lalu.
Tertuduh, Lim Lian yang juga seorang pekebun, hanya mengangguk faham selepas semua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.
Berdasarkan pertuduhan, Lim didakwa membunuh dua lelaki tempatan iaitu Wong Poh Soon, 61, dan Chen Kwai Hwa, 64, serta seorang wanita warga asing, Tran Thi Trang, 37, di Kedai Chan Fong Moi, Jalan Delima, Taman Kota Jaya sekitar jam 1.30 petang pada 19 April.
Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan dalam tempoh dua minggu bagi membolehkan permohonan pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi disegerakan. Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan yang dihadapi tertuduh.




