Malaysia

Belanjawan 2026: Peruntukan TVET bertambah kepada RM7.9 bilion

Kerajaan memperkukuh pembangunan bakat tempatan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peruntukan yang meningkat kepada RM7.9 bilion pada tahun 2025, naik berbanding RM7.5 bilion tahun sebelumnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 berkata, peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi permintaan industri berpertumbuhan pesat.

Beliau menegaskan bahawa TVET menjadi teras utama pembangunan modal insan negara, dengan pelaburan besar bagi memperluas peluang latihan, menaik taraf infrastruktur, serta memperkukuh ekosistem pendidikan kemahiran.

Antara inisiatif utama yang dibiayai menerusi peruntukan berkenaan termasuk:

  • RM45 juta kepada Majlis TVET Negara untuk memperluas pelaksanaan Program IPT@Komuniti, termasuk penerapan teknologi digital dan AI kepada 10,000 pelajar tahfiz dan pondok.
  • RM1.3 bilion kepada institusi TVET di bawah Kementerian Pendidikan bagi mendidik 79,000 penuntut.
  • RM3 bilion menerusi HRD Corp bagi menawarkan 3 juta peluang latihan, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi, digital dan peralihan tenaga.
  • RM650 juta oleh PTPK untuk membiayai lebih 25,000 pelatih dalam bidang strategik seperti AI, kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.
  • RM34 juta kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran bagi Program Akademi Dalam Industri yang bertujuan melatih tenaga tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah.
  • GiatMARA turut menyediakan latihan kepada 13,000 golongan tumpuan, termasuk pekerja gig, manakala Kolej Komuniti memperluas Program Pembelajaran Sepanjang Hayat bagi komuniti rentan seperti OKU, warga emas, ibu tunggal dan Orang Asli.

Selain itu, perdana menteri memaklumkan peruntukan turut digunakan untuk menaik taraf kemudahan institusi TVET, termasuk pembinaan hangar baharu di ADTEC Shah Alam bagi penyelenggaraan kapal terbang dan Kompleks Teaching Shipyard TVET Marine di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi bidang maritim, seiring dengan aspirasi pembangunan ekonomi biru negara.

Kerajaan juga akan membangunkan sebuah Kolej Vokasional baharu di Sabah, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas akses TVET ke seluruh negara.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker