Tidak kira apa alasan, insiden kibar bendera Israel di Kelantan tetap perlu dikenakan tindakan – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak kira apa alasan yang diberikan susulan tindakan pengibaran bendera Israel di Kelantan baru-baru ini, pihak terlibat tetap perlu diambil tindakan.
Katanya, beliau mahu mahu polis mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam kejadian mengibarkan bendera Israel pada satu program di Sungai Kelantan, Jumaat lalu.
Sama seperti kes tulisan Hebrew, tindakan mengibarkan bendera Israel juga tidak sepatutnya berlaku walau atas apa matlamat atau tujuan sekali pun.
Malah, tegas beliau, perbuatan mengibarkan bendera Israel adalah bertentangan dengan dasar negara keseluruhannya, serta dasar yang merentasi pendirian pelbagai parti politik.
Terdahulu, program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza yang berlangsung di Sungai Kelantan terpalit kontroversi selepas bendera Israel turut dikibarkan dan videonya tular di laman sosial sehingga menimbulkan rasa kurang senang dan perdebatan dalam kalangan warga maya.




