Pengawal keselamatan maut selepas dipukul penyewa kondo di Jalan Ipoh

Seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium yang terletak di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur disahkan meninggal dunia sehari selepas dipukul oleh seorang penyewa lelaki dalam kejadian malam Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, suspek berusia 32 tahun dikatakan meminta mangsa menemaninya ke blok lain, namun permintaan itu ditolak kerana mangsa tidak boleh meninggalkan pos kawalan.
Suspek kemudian bertindak agresif menampar muka, menumbuk dahi serta memijak badan dan kaki mangsa.
Mangsa membuat laporan polis dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat kecederaan tisu lembut di bahagian kepala sebelum dibenarkan pulang kerana tiada kecederaan luaran dikesan.
Suspek ditahan pada jam 4.30 petang hari sama dan direman empat hari bagi siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960.
Namun pada kira-kira jam 9.30 malam, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di rumahnya dan disahkan meninggal dunia selepas hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah serangan jantung akibat saluran arteri tersumbat.




