Wartawan meninggal dunia selepas liputan banjir di Hatyai

Seorang wakil media Astro AWANI di Perlis, Asry Shafii, meninggal dunia awal pagi ini ketika dalam perjalanan pulang selepas membuat liputan operasi menyelamat rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hatyai.
Allahyarham, 49, difahamkan rebah selepas keretanya terperangkap dalam banjir dan dipercayai mengalami serangan jantung.
Asry, yang mempunyai sejarah penyakit jantung, dikatakan terlalu keletihan selepas tugasan liputan dan dalam masa sama cemas memikirkan keadaan keluarganya di Perlis yang turut berdepan banjir.
Ketika usaha meneruskan perjalanan, keretanya gagal dihidupkan sebelum beliau turun untuk menolak, namun rebah dan tidak dapat diselamatkan.
Allahyarham pernah berkhidmat di RTM dan BERNAMA sebelum menjadi wakil Astro AWANI di Perlis.
Beliau meninggalkan seorang isteri dan enam anak. Orang ramai menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat.




