Sekian lama berlubang, Jalan Travers kini cantik selepas diturap

Genap seminggu selepas isu jalan berlubang di Jalan Travers menghala ke Bangsar dibangkitkan oleh Telus Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyiapkan kerja penurapan semula laluan berkenaan.
Tinjauan pada pagi tadi mendapati laluan utama berhampiran Balai Polis Brickfields itu kini kembali rata dan selamat digunakan, dengan kerja pembaikan melibatkan penurapan penuh, bukan sekadar tampalan sementara.
Sebelum ini, keadaan jalan berlubang yang berlarutan selama beberapa bulan mencetus kebimbangan pengguna kerana berisiko menyebabkan kemalangan serta kerosakan kenderaan.
Aduan orang awam turut mempersoalkan kelewatan tindakan walaupun laluan itu merupakan jalan utama yang digunakan setiap hari.
Tindakan DBKL menurap semula jalan itu kini dilihat sebagai langkah positif dalam menjamin keselamatan pengguna serta menjaga imej bandar raya.




