Warga asing tidak boleh beli minyak masak peket bermula Mac
Warga asing dilarang membeli minyak masak peket bersubsidi berharga RM2.50 mulai 1 Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata larangan dilaksanakan melalui Peraturan Kawalan Bekalan di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 selepas dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Langkah itu disokong sistem yang hanya membenarkan warganegara membuat pembelian menggunakan butiran kad pengenalan, sekali gus memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan.
Isu mekanisme pelaksanaan sebelum ini dibangkitkan peruncit, terutama dari segi kaedah kawalan di peringkat jualan.
Armizan menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai keberkesanan sistem eCOSS dalam pengagihan minyak masak bersubsidi, termasuk kebimbangan kawasan luar bandar tanpa capaian internet.




