Melaka sediakan tapak baharu untuk upacara dan kebajikan masyarakat India

Masyarakat India di Melaka kini mempunyai penyelesaian jangka panjang bagi isu kekurangan tapak untuk urusan pengebumian dan upacara keagamaan.
Majlis pecah tanah atau ‘Bhumi Puja’ bagi pembinaan pusat upacara dan kebajikan itu diadakan di atas tanah kerajaan seluas kira-kira 10,000 kaki persegi di kawasan pesisir pantai Melaka.
Projek itu direalisasikan selepas permohonan dikemukakan Pengerusi MIC Negeri Melaka merangkap bekas Exco, Datuk Shanmugam, kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco berkaitan, Datuk Rais Yasin.
Kelulusan diberikan menerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Selain Islam (RISI) dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), dengan kerajaan negeri turut menyediakan geran RM100,000 melalui pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pusat berkenaan akan dilengkapi tiga gazebo terbuka, manakala kemudahan tandas awam dan tempat mandi yang terletak kira-kira 10 meter dari tapak turut boleh digunakan.
Selepas siap, pusat itu akan diserahkan kepada Malaysia Hindu Sangam untuk manfaat masyarakat India di Melaka, khususnya golongan berpendapatan rendah dan warga emas, dengan kos minimum atau secara percuma.
Sementara itu, pihak kepimpinan menafikan projek berkenaan sebagai gimik politik sempena pilihan raya, dengan semua kelulusan dan proses pentadbiran dikatakan telah diselesaikan sejak Jun lalu.
Menjelang PRN Melaka, MIC turut disahkan mempertahankan kerusi DUN Gadek yang pernah disandang Datuk Shanmugam, dengan jentera parti diarahkan turun padang bagi membantu usaha Barisan Nasional (BN).




