Malaysia
HRD Corp bukan buat ‘pembersihan’, sebaliknya proses naik taraf – Ramanan

Penggantungan beberapa pegawai Human Resources Development Corporation (HRD Corp) bukan bertujuan melakukan pembersihan, sebaliknya sebahagian daripada proses penstrukturan dan penambahbaikan tadbir urus agensi itu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, berkata siasatan berhubung isu yang dibangkitkan masih berjalan dan sebarang keputusan hanya akan ditentukan selepas proses itu selesai.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian MyFutureJobs Career Exploration Centre (MYCEC), hari ini.
Katanya lagi, fokus utama kerajaan kini adalah memastikan tadbir urus lebih kukuh dan pelaksanaan program HRD Corp berjalan mengikut piawaian.




