Penduduk Puncak Jalil hidu asap tebal, kebakaran merebak lebih dua hektar

Kebakaran di lereng bukit Puncak Jalil dekat Seri Kembangan dilaporkan merebak sehingga melibatkan kawasan lebih dua hektar setakat malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan seramai 27 anggota bersama enam jentera dari Balai Bomba Seri Kembangan, Cyberjaya, Puchong, Subang Jaya dan Penchala digerakkan bagi operasi pemadaman.
Kebakaran yang dikesan sekitar jam 4.12 petang itu berlaku di kawasan hutan lereng bukit dan tidak melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan pada kediaman serta premis berhampiran.
Pasukan bomba turut melaksanakan kaedah ‘fire break’ bagi menghalang api merebak ke kawasan perumahan yang terletak kira-kira 150 meter dari lokasi kebakaran. Kejadian itu juga dapat dilihat jelas oleh pengguna Lebuhraya Kuala Lumpur–Putrajaya (MEX).




