
Seorang pempengaruh media sosial, Iman Kamil mencetuskan perhatian apabila mendedahkan tatu pada lengan dan tangan, yang didakwa dibuat ketika berdepan tekanan hidup.
Perkongsian yang tular itu mengundang pelbagai reaksi dengan kebanyakkannya kritikan negatif, namun ada juga tampil memberi nasihat dan kata semangat, melihatnya sebagai isyarat individu terbabit sedang bergelut dengan emosi.
Ada yang menasihatkan supaya mendekatkan diri dengan agama, sementara yang lain mengingatkan agar mendapatkan sokongan dan tidak memendam masalah sendirian.
Beberapa pengguna turut menganggap tindakan itu sebagai ‘cry for help’ dan menggesa orang ramai lebih peka.
Tatu yang dilihat masih baharu turut menguatkan tanggapan bahawa tekanan yang dialami berlaku dalam tempoh terdekat.
Dalam video sama, pempengaruh berkenaan mengakui dirinya berdepan masalah emosi dan memilih berkongsi bagi mengelakkan spekulasi, sambil memberi gambaran tidak semua orang mampu menghadapi ujian hidup dengan cara yang sama.



