Pemandu treler lalok rempuh tiga sekeluarga didakwa atas tiga pertuduhan membunuh

Pemandu treler positif dadah, Muhamad Shafiq Salleh, 29, didakwa di Mahkamah Majistret Segamat atas tiga pertuduhan membunuh membabitkan kematian tiga sekeluarga dalam kemalangan, Khamis lalu.
Tertuduh didakwa menyebabkan kematian S Palamiandy, 77; K Myakrishnan, 72; dan S Sevendai, 62 di Kilometer 212 Jalan Johor Bahru–Seremban pada 2 April. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 21 Mei sebagai sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat, perubatan, forensik, patologi dan PUSPAKOM, tanpa sebarang jaminan.
Dalam kejadian itu, tiga mangsa maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan berhampiran Simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru, kira-kira 200 meter dari rumah ketika dalam perjalanan pulang dari Batu Anam.




