RM1.49 juta disalur untuk sekolah tamil sempena Deepavali

Sebanyak RM1.49 juta diagihkan kepada komuniti India di Parlimen Teluk Intan sempena Deepavali melalui inisiatif Kasih Madani.
Peruntukan itu disalurkan kepada 12 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil serta 258 pelajar tempatan, menjadikannya jumlah tertinggi pernah diberikan di kawasan tersebut.
Daripada keseluruhan jumlah, RM1.23 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan di sekolah seperti SJK(T) Datuk Sithambaram Pillay, SJK(T) Ladang Nova Scotia dan SJK(T) Thiruvalluvar.
Selebihnya, RM256,600 diberikan kepada pelajar yang menerima antara RM1,000 hingga RM2,000 mengikut peringkat pengajian.
Bantuan itu bertujuan menyokong pendidikan golongan B40 dan meningkatkan kemudahan sekolah selain meringankan beban keluarga menjelang perayaan.
Menurut Nga Kor Ming, ia mencerminkan dasar kerajaan Madani yang inklusif dan memberi perhatian kepada semua kaum tanpa pengecualian.




