Tiga terkorban dalam tembakan, warga emas 71 tahun direman 7 hari

Seorang lelaki warga emas berusia 71 tahun direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tembakan maut yang mengorbankan tiga individu di sebuah medan selera di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor.
Keputusan reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi selepas permohonan dibuat pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.
Dalam kejadian sekitar jam 1.30 tengah hari itu, dua lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam berusia antara 37 hingga 63 tahun ditembak menggunakan senapang patah sebelum disahkan maut di lokasi kejadian.
Suspek kemudiannya ditahan kira-kira 200 meter dari tempat kejadian sekitar jam 2 petang oleh pihak polis yang bertindak pantas selepas menerima laporan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad memaklumkan, siasatan awal mendapati suspek memiliki lesen senjata api yang sah dan senjata jenis Benelli M/Super yang digunakan dalam kejadian turut dirampas.




