14 Individu ditahan dalam sindiket seludup migran di Kota Tinggi

Seramai 14 individu termasuk seorang lelaki tempatan ditahan dalam satu operasi khas membanteras sindiket penyeludupan migran di sekitar Sungai Rengit, Pengerang dan Felda Air Tawar, awal pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, operasi yang bermula jam 11.45 malam hingga 4 pagi itu melibatkan anggota Bahagian Siasatan Jenayah bersama tentera dari Batalion ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Majidee.
Hasil risikan dan pemantauan, polis menyerbu sebuah rumah di Sungai Rengit dan menahan 11 lelaki warga Indonesia serta seorang wanita.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati kesemua 12 warga Indonesia tersebut gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah dan dipercayai baru tiba dari negara asal.
Susulan tangkapan itu, polis berjaya menjejaki dan menahan dua lagi lelaki warga Indonesia serta seorang lelaki tempatan di lokasi berasingan, yang disyaki menjadi dalang atau fasilitator sindiket berkenaan.




