Pengawasan konvoi RXZ perlu diperketat – Pakar keselamatan jalan raya

Seorang pejuang keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin menggesa kerajaan memperketat pemantauan terhadap penganjuran konvoi dan perhimpunan motosikal RXZ susulan peningkatan kemalangan maut yang dikaitkan dengan program berkenaan.
Menurutnya, langkah lebih tegas diperlukan bagi memastikan keselamatan peserta serta pengguna jalan raya lain sentiasa terjamin.
Shahrim berkata, jumlah kematian membabitkan perhimpunan RXZ menunjukkan trend membimbangkan apabila meningkat daripada dua kes pada 2024 kepada lima kes pada 2025, sebelum melonjak kepada 11 kes setakat tahun ini.
Beliau menegaskan, situasi itu membuktikan pendekatan sedia ada tidak lagi mencukupi dan memerlukan kawalan yang lebih ketat.
Antara cadangan dikemukakan ialah mewujudkan garis panduan khas bagi konvoi motosikal, termasuk penetapan laluan, had bilangan peserta, pemantauan pihak berkuasa serta tanggungjawab penganjur dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan jalan raya.
Beliau turut menekankan aspek pendidikan keselamatan jalan raya perlu dijadikan syarat utama setiap penganjuran program.




