MPV rempuh sekumpulan gajah di LPT2, suami isteri cedera

Sepasang suami isteri cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh sekumpulan gajah di Kilometer 300.4, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Kijal, Terengganu, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam, pemandu Toyota Estima, Abdul Wahid Ismail, 54, dan isterinya, Fauziah Muda @ Jusoh, 52, mengalami kecederaan pada bahagian tangan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Mohamad, pasangan itu dalam perjalanan dari Cheneh ke Pasir Gajah sebelum ternampak sekumpulan gajah di hadapan kenderaan.
Kejadian dipercayai berpunca daripada jarak terlalu dekat, menyebabkan pemandu gagal mengelak lalu merempuh seekor gajah.
Kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Kemaman, manakala bahagian hadapan MPV mereka turut mengalami kerosakan teruk.




