Kerajaan diminta pertimbang beri elaun bulanan kepada bekas polis tidak berpencen

Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian elaun sara hidup bulanan kepada bekas anggota polis yang tidak menerima pencen sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka.
Presiden PBPM, Mokhtar Omar berkata, berdasarkan rekod persatuan sejak 1972, kira-kira 40,000 daripada 86,000 ahli berdaftar merupakan bekas anggota polis tidak berpencen.
Menurutnya, golongan itu kini berdepan peningkatan kos sara hidup selepas tidak lagi mempunyai sumber pendapatan tetap.
Beliau berkata demikian pada sidang media PBPM di Kingston Hotel, Kuala Lumpur, hari ini.
PBPM turut mencadangkan penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara atau PJPN diberikan elaun khas antara RM300 hingga RM500 sebulan.
Selain itu, Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) dicadang dikaji semula supaya bantuan pendidikan, kesihatan dan bencana dapat dipertingkatkan.
Dalam masa sama, PBPM akan menganjurkan Program Jualan Meja Makan Malam pada Oktober dengan sasaran kutipan RM1 juta untuk membantu bekas anggota yang memerlukan seperti mendapatkan peralatan kesihatan, kerusi roda, susu dan alat pendengaran.



