779 terima darjah kebesaran Kelantan, Farhash, Ramanan antara penerima utama

Dua nama mencuri perhatian dalam senarai 779 penerima Darjah, Bintang dan Pingat sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan KDYMM Sultan Muhammad V yang ke-57 bagi tahun 2026.
Datuk Seri Farhash Wafa Salvador menjadi penerima tunggal Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (PYGP), sekali gus mengetuai senarai penerima tahun ini.
Beliau diikuti Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan yang menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) yang membawa gelaran Datuk.
Pengurniaan itu turut melakar sejarah apabila Ramanan, yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, menjadi individu daripada komuniti India pertama menerima SJMK sejak darjah itu diperkenalkan pada 1925.
Menurut sumber, keanggotaan bagi kelas SJMK pula dihadkan kepada 50 penerima.
Ramanan dalam kenyataan susulan merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada KDYMM Sultan Muhammad V atas perkenan pengurniaan tersebut.
Beliau menyifatkannya sebagai satu amanah untuk terus memperkukuh khidmat kepada Raja, rakyat dan negara. Selain Ramanan, SJMK turut dikurniakan kepada Datuk Razali Daud, Datuk Rosnazli Amin, Datuk Daniyar Kessikbayev, Datuk Leon Emil Le’mercier, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Mohd Khidir Yaacob.
Istiadat pengurniaan turut menyaksikan Panglima Angkatan Tentera Malaysia dan Panglima Tentera Darat dikurniakan Darjah Kebesaran Negeri.



