Lelaki lompat dari tingkat 11, berdepan pertuduhan bunuh wanita

Seorang lelaki berdepan kemungkinan didakwa membunuh selepas tindakan terjun dari tingkat 11 sebuah bangunan untuk membunuh diri menyebabkan seorang wanita maut di Jepun.
Shinsei Taguchi, 29, terjun di daerah Sakae, Nagoya pada 19 Julai sebelum jatuh menimpa Tomoki Inaba, 23. Mangsa meninggal dunia di hospital beberapa jam kemudian, manakala Taguchi terselamat dan ditahan selepas keluar dari hospital pada Ogos.
Taguchi kini menjalani penilaian psikiatri bagi menentukan tahap tanggungjawab jenayahnya. Bapa mangsa, Kenji Inaba, mahu lelaki itu didakwa membunuh kerana mendakwa Taguchi mengakui dia sedar tindakan terjun di kawasan sibuk itu boleh membahayakan orang lain.
Bagaimanapun, Taguchi dilaporkan mendakwa tidak mengingati kejadian berkenaan. Keluarga mangsa menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu dan memastikan kematian Tomoki tidak dianggap sekadar kemalangan.




