Budak autisme rentung, 30 rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

Seorang kanak-kanak lelaki autisme berusia 12 tahun, Jackson Zack, ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 30 rumah di Kampung Sentosa Blok 4, Hilltop, Jalan Utara, Tawau, pagi tadi.
Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Moiley Milin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.44 pagi sebelum 47 anggota tiba di lokasi tiga minit kemudian. Kebakaran pada awalnya melibatkan enam rumah.
Menurutnya, operasi pemadaman berdepan cabaran berikutan ketiadaan pili bomba, laluan sempit serta kedudukan rumah yang terlalu rapat antara satu sama lain.
Sementara itu, mangsa kebakaran, Bakri Syarifuddin, 40-an, berkata dia hanya sempat menyelamatkan dokumen pengenalan diri selepas bergegas pulang apabila dimaklumkan rumahnya turut terbakar. Tambahan, kanak-kanak yang maut itu merupakan anak saudara kepada isterinya.




