Balik solat Aidiladha bertukar tragedi, wanita maut nahas di Machang

Seorang wanita maut manakala suaminya cedera parah selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Lama Kota Bharu-Kuala Krai berhampiran Pulai Chondong, Machang, Kelantan pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Yusnita Yusuf, 47, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ketika membonceng motosikal yang ditunggang suaminya selepas pulang menunaikan solat Aidiladha.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah Perodua Viva dan motosikal yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menuju ke Kuala Krai.
Suami mangsa yang berusia 44 tahun mengalami kecederaan serius dan kini dirawat di zon merah Unit Kecemasan Hospital Machang.



