Jerebu berpanjangan boleh jejaskan kualiti sperma lelaki

Pendedahan berpanjangan kepada udara tercemar ketika musim jerebu berpotensi menjejaskan kualiti sperma dan kesuburan lelaki, menurut Pensyarah Kanan Biokimia Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Faizul Jaafar.
Beliau berkata, pencemaran udara seperti zarah halus PM2.5, ozon dan nitrogen dioksida boleh menyebabkan tekanan oksidatif yang merosakkan DNA sperma serta mengganggu proses penghasilan sperma. Kesan ini boleh menyebabkan penurunan kepekatan, pergerakan dan bentuk normal sperma.
Menurut Dr. Faizul, proses pembentukan sperma mengambil masa lebih 70 hari, menyebabkan pendedahan berterusan sepanjang musim jerebu berpotensi memberi kesan terkumpul.
Tambahan, golongan yang bekerja di luar seperti penghantar makanan dan pemandu motosikal turut berkemungkinan mempunyai risiko lebih tinggi.




