Kerajaan digalak subsidi tanam mikrocip haiwan peliharaan – PETA

Cadangan mewajibkan mikrocip bagi anjing peliharaan dilihat sebagai langkah penting untuk memperkemas sistem pemilikan haiwan dan menangani isu haiwan terbiar.
Namun, bagi memastikan dasar ini berkesan dan tidak membebankan, kerajaan digalakkan mempertimbangkan subsidi atau bantuan kos kepada pemilik, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Pengurus Kempen PETA Asia, Abigail Forsyth, berkata di beberapa negara lain, kerajaan yang mewajibkan mikrocip biasanya turut menanggung atau mensubsidi kos bagi memudahkan pematuhan.
Pada masa sama, pelaksanaan dasar ini perlu disokong dengan pangkalan data nasional berpusat dan penyelarasan lesen antara pihak berkuasa tempatan.
Ujarnya lagi, tanpa sistem yang tersusun dan mekanisme pemindahan hak milik yang jelas, kewajipan mikrocip berisiko menjadi sekadar syarat pentadbiran tanpa impak penguatkuasaan yang menyeluruh.
Dalam pada itu, terdapat juga cadangan memperkenalkan festival Jallikattu dari India ke Malaysia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan aktivis hak haiwan.
Abigail menegaskan, pihaknya kini memberi tekanan kepada kerajaan tempatan supaya tidak membenarkan amalan itu diperkenalkan di Malaysia kerana ia didakwa berisiko mencetuskan penderaan terhadap haiwan serta membahayakan peserta dan penonton sekiranya dilaksanakan di negara ini.
Selain isu Jallikattu, PETA Asia memaklumkan mereka akan terus mengadakan program kesedaran di Malaysia setiap beberapa bulan, sama ada di hadapan pejabat kerajaan tempatan, premis industri atau di ruang awam.
Mereka juga berjanji akan terus berhubung dengan pihak berkuasa dan masyarakat setiap kali timbul kes kekejaman haiwan, bagi menggalakkan layanan yang lebih berperikemanusiaan terhadap haiwan di negara ini.




