Lima kluster strategik perkukuh sistem kesihatan negara

Reformasi Kesihatan MADANI digerakkan menerusi lima kluster strategik bagi memperkukuh sistem kesihatan negara, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta mewujudkan persekitaran kerja lebih adil untuk petugas kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif ini dilaksanakan sebagai pembetulan asas susulan cabaran berpanjangan termasuk pembiayaan, kesesakan fasiliti, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) dan keletihan tenaga kerja.
Lima kluster itu merangkumi reformasi tadbir urus dan institusi, penyampaian perkhidmatan, sumber manusia kesihatan, pembiayaan kesihatan serta kesihatan awam dan pencegahan.
Antara langkah utama termasuk penubuhan Bahagian Kesihatan Digital, pelaksanaan rekod perubatan elektronik (EMR), sistem janji temu digital, pindaan Akta Perubatan 1971, lantikan tetap berskala besar serta pembiayaan kesihatan berasaskan nilai melalui kerangka RESET.
Usaha ini bertujuan mengurangkan kesesakan hospital, menambah baik akses rakyat dan memastikan kelestarian fiskal sistem kesihatan awam.
Menjelang 2026, hala tuju KKM tertumpu kepada pengurusan bakat berasaskan data melalui papan pemuka sumber manusia bersepadu, pengurangan kesesakan dengan pengoptimuman fasiliti sedia ada dan strategi nyah-sesak berpandukan data.




