Makanan diagih kepada gelandangan terlalu banyak, sudahnya ke tong sampah

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengkaji penggunaan reka bentuk bandar bagi mengurangkan aktiviti gelandangan tidur di jalanan.
Ia termasuk elemen fizikal seperti bangku awam yang kurang sesuai untuk berbaring seperti di bandar besar seperti London, Tokyo dan Singapura.
Pendekatan ini bertujuan memastikan ruang awam kekal selamat dan mudah diakses tanpa menggalakkan penempatan tidur di kaki lima.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Zaliha Mustafa berkata isu gelandangan di Kuala Lumpur kini turut berdepan masalah pembaziran makanan ekoran pengagihan oleh NGO dan individu yang terlalu banyak serta tidak mengikut masa ditetapkan.
Akibatnya, makanan tidak diambil dan dibuang begitu sahaja hingga menjejaskan kebersihan bandar.
Beliau menjelaskan DBKL sudah menetapkan tiga lokasi agihan rasmi Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur Anjung Kembara dengan kerjasama lapan NGO berdaftar.



