Penugasan SMART di Nepal tamat, usaha kesan 55 rakyat Malaysia diteruskan

Penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Nepal tamat, namun usaha mengesan 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi akibat banjir besar diteruskan.
Kementerian Luar Negeri (KLN) berkata, kesemua 55 rakyat Malaysia masih direkodkan sebagai belum dapat dihubungi. Waris akan dimaklumkan terlebih dahulu jika terdapat perkembangan yang disahkan mengenai status mereka.
Menurut KLN, pihak berkuasa Nepal masih menjalankan usaha mencari dan mengenal pasti mangsa. SMART turut membantu dengan memberi latihan penggunaan dron kepada penyelamat Nepal serta menyerahkan sembilan dron untuk operasi bencana.
Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu akan terus mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa Nepal, termasuk membuat semakan dengan hospital dan agensi berkaitan serta lawatan susulan jika keadaan mengizinkan.
KLN juga akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pasukan SMART selepas mereka kembali ke Malaysia hari ini mengenai perkembangan sepanjang operasi di Nepal.




