Malaysia
Penunggang motosikal rentung, rempuh lori di LPT2

Seorang penunggang motosikal jenis Zontes rentung selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 357, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, Dungun, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, polis menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada Pusat Kawalan Daerah IPD Dungun kira-kira jam 5.30 pagi.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 5 pagi ketika lori Hino dan motosikal berkenaan bergerak dari Bukit Besi menghala ke Kuantan.
Akibat rempuhan, motosikal terbakar dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas seluruh badannya terbakar.



