Saintis 26 tahun rugi RM466,000 selepas dipancing hasil pelaburan pertama

Seorang saintis berusia 26 tahun kerugian RM466,000 selepas terperangkap dalam skim pelaburan palsu yang memperdayakannya sebaik sahaja mencuba pelaburan pertama.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata mangsa mula mengenali individu yang dipercayai dalang penipuan itu melalui aplikasi Xion Hong Shu sebelum ditarik menyertai pelaburan Digital Realtyv yang kononnya menawarkan pulangan tinggi melalui dagangan FOREX.
Mangsa pada awalnya membuat bayaran RM4,500 dan menerima keuntungan kecil yang berjaya dikeluarkan, sekali gus meyakinkannya untuk menambah pelaburan sehingga RM466,000 melalui 13 transaksi ke tujuh akaun berbeza antara 6 Oktober dan 17 November.
Mangsa kemudian mula menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan dan diminta membuat bayaran tambahan.
Susulan itu, mangsa membuat laporan polis pada 1 Disember di IPD Barat Daya. Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.




