6,000 pelajar dijangkiti influenza, sekolah mula ditutup

Kementerian Pendidikan mengesahkan kira-kira 6,000 pelajar di seluruh negara dijangkiti influenza setakat ini, menyebabkan beberapa sekolah terpaksa ditutup atas nasihat pejabat kesihatan daerah.
Penutupan dilaksanakan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM), manakala semua sekolah diarahkan memperketat langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka dan menghadkan aktiviti berkumpulan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azam Ahmad berkata, pengalaman semasa pandemik Covid-19 dijadikan asas bagi menangani penularan wabak ketika ini.
Beliau turut memberi jaminan persediaan rapi sedang dibuat menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 3 November, termasuk oleh pegawai Lembaga Peperiksaan.
KKM sebelum ini melaporkan 97 kluster influenza A dan B direkodkan pada minggu epidemiologi ke-40 tahun 2025, berbanding hanya 14 kluster pada minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.




