Muatan berlebihan punca utama kemalangan maut FRU – Laporan siasatan

Siasatan rasmi mengesahkan kemalangan maut membabitkan lori tipper dan konvoi Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan pada 13 Mei lalu berpunca daripada muatan berlebihan melebihi 70 peratus had berat dibenarkan (BDM).
Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, beban berlebihan menyebabkan pemandu lori gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar lori FRU yang dalam perjalanan pulang ke Ipoh, mengorbankan sembilan anggota.
Laporan akhir siasatan mendapati tiada kegagalan mekanikal pada sistem brek atau stereng, namun kemalangan berpunca daripada faktor operasi, termasuk kelemahan pengawasan dalaman syarikat pengendali lori dan ketiadaan sistem pemantauan GPS yang berfungsi.
Sebanyak 16 syor keselamatan turut dikemukakan, termasuk penambahbaikan Akta 715, peningkatan pematuhan keselamatan serta pemasangan tali pinggang keledar bagi semua tempat duduk kenderaan kerajaan.
MOT menegaskan siasatan dijalankan secara bebas dan bertujuan memperkukuh dasar keselamatan pengangkutan darat bagi mengelak tragedi seumpamanya berulang.




