Negara masih dibebani hutang 1MDB, RM42 bilion telah ditanggung – PM

Kerajaan kini mencatat penurunan ketara dalam jumlah pinjaman tahunan negara berbanding 2021, sekali gus menunjukkan disiplin fiskal yang semakin kukuh.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pinjaman baharu yang pernah mencecah sekitar RM100 bilion kini diunjur turun kepada RM70–75 bilion pada 2025.
Walaupun beban hutang kekal tinggi, kedudukan keseluruhan masih terurus dengan hutang statutori berada pada 64 peratus daripada KDNK, di bawah had 65 peratus yang dibenarkan.
Namun jelas Anwar, komponen paling membebankan kerajaan terus datang daripada legasi skandal 1MDB.
Komitmen keseluruhan hutang entiti itu hampir RM50 bilion, dengan kerajaan sudah menanggung bayaran sekitar RM42 bilion.
Selepas mengambil kira pemulangan aset bernilai RM29 bilion, baki tanggungan bersih yang masih perlu ditutup kerajaan dianggarkan sekitar RM13 bilion.



