3,000 pelajar ponteng sekolah setiap hari, Melaka mahu hukuman rotan dikembalikan

Kerajaan negeri Melaka mencadangkan pengembalian hukuman rotan di sekolah susulan peningkatan kes ponteng dan kemerosotan tahap disiplin pelajar, yang merekodkan kira-kira 3,000 pelajar tidak hadir ke sekolah setiap hari.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, cadangan itu membolehkan semua guru melaksanakan hukuman rotan mengikut garis panduan ketat.
Namun, ia tertakluk kepada persetujuan ibu bapa dan hanya melibatkan pelajar lelaki.
Langkah tersebut dilihat perlu bagi mengukuhkan disiplin serta memulihkan rasa hormat pelajar terhadap guru.
Selain hukuman rotan, kerajaan negeri turut mempertimbangkan tindakan tegas lain termasuk menarik balik kelayakan pelajar terlibat daripada menerima sebarang bantuan kerajaan dan biasiswa, sebagai usaha segera membendung masalah ponteng sekolah di Melaka.




