Wanita cedera parah dikelar di BBST, kereta dilarikan suspek sehingga terbabas di Nilai

Seorang wanita pemandu e-hailing berusia 60 tahun cedera parah selepas dikelar seorang lelaki sebelum suspek melarikan diri dengan kereta mangsa jenis Perodua Bezza dalam kejadian di kawasan parkir bebas di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Norhizam Bahaman memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 9.40 malam, menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius di leher dan lengan kiri sebelum dikejarkan ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan.
Suspek lelaki tempatan berusia 69 tahun kemudiannya ditemui kira-kira dua jam kemudian selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Taman Desa Melati, Nilai, Negeri Sembilan, ketika berada di dalam kenderaan milik mangsa.
Polis turut menemui sebilah pisau kerambit di dalam kereta berkenaan. Suspek yang turut mengalami kecederaan di leher kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Cyberjaya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. Orang awam yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi polis.




