Pelajar UniSZA maut dirempuh Honda Jazz langgar lampu merah depan JPJ Kuala Terengganu

Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya dirempuh sebuah Honda Jazz yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah.
Kejadian berlaku di persimpangan Jalan Kemajuan berhampiran JPJ Kuala Terengganu, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira 1.39 petang itu, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, meninggal dunia di lokasi akibat rempuhan kuat ketika sedang membelok selepas lampu isyarat bertukar hijau.
Mangsa dalam perjalanan dari Perpustakaan Awam Negeri Terengganu menghala ke Jalan Bukit Kecil.
Mayat mangsa dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, manakala pemandu Honda Jazz yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.




