Kehilangan Nadia Kesuma memasuki hari keempat, suami rayu proses pencarian dipercepatkan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan kehilangan pelakon Nadia Kesuma, yang gagal dikesan ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, pada Khamis lalu.
Laporan polis berhubung kehilangan Nadia Kesuma, atau nama sebenarnya Nadia Kasumawati Abdul Karim, dibuat oleh ahli keluarganya di Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA semalam.
Ketua Polis Daerah KLIA, ACP M. Ravi, memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Sementara itu, suami kepada Nadia Kesuma merayu kerajaan Malaysia segera menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya yang dilaporkan hilang sejak 14 Januari lalu.
Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, berkata, kehilangan isterinya kini memasuki hari keempat dan masih kekal menjadi misteri, justeru tindakan segera amat penting bagi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk.



