Rafizi jawab dakwaan rasuah RM2.5 bilion adalah fitnah

Bekas Menteri Ekonomi dan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, menafikan dakwaan beliau terbabit dalam kes rasuah RM2.5 bilion berkaitan projek Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Beliau berkata tuduhan kononnya menganugerahkan kontrak kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengannya adalah tidak benar dan disebarkan oleh pempengaruh media sosial, Ariz Ramli atau Caprice.
Rafizi turut menegaskan pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra bagi projek NETR adalah inisiatif swasta sepenuhnya tanpa melibatkan dana awam atau perolehan kerajaan.
Isu itu tular semula selepas klip penjelasannya dimuat naik di Instagram Caprice.
Rafizi dijadual memperincikan penjelasan berhubung dua dakwaan salah laku yang dikaitkan dengannya dalam program audio siar pada malam ini, manakala Caprice juga dijangka mengadakan sidang media bagi menjawab kenyataan tersebut.




