Penganggur didakwa bunuh rakan, sorok mayat dalam gulungan tilam

Seorang penganggur berusia 40 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya sebelum menyembunyikan mayat mangsa di dalam gulungan tilam di sebuah rumah kedai di kawasan Pokok Mangga.
Mengikut pertuduhan, Kamil Harris Mohd Abd Nasir, 40, didakwa menyebabkan kematian rakannya dalam kejadian yang dipercayai berlaku antara dua minggu hingga sebulan sebelum mayat mangsa ditemui pada 29 Mei lalu.
Mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan dibalut dengan tilam dan kedua-dua tangannya diikat.
Siasatan polis mendapati mangsa dipercayai merupakan rakan kepada tertuduh. Motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada salah faham dan tuduh-menuduh sebelum pertengkaran berlaku.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.




