Saravanan didakwa terima rasuah RM1.097 juta, jamin RM450,000

Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan hari ini, 28 Ogos, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta.
Saravanan didakwa menerima RM150,000 pada 16 Jun 2022 dan RM350,000 pada 7 Julai 2022, sebagai balasan membantu meluluskan 1,000 kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering Sdn Bhd.
Pertuduhan ketiga membabitkan RM597,000 yang didakwa diterima melalui cek Maybank Islamic dan dimasukkan ke akaun Big Seven Ventures Sdn Bhd. Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan jaminan RM450,000 terhadap Saravanan, selain mengarahkan beliau melapor diri kepada SPRM setiap tiga bulan dan tidak menghubungi saksi.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 29 September ini.




