MITRA salur RM59.76 juta, perkasa ekonomi dan pendidikan masyarakat India

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) melancarkan tujuh inisiatif baharu bernilai RM59.76 juta bagi memperkasa ekonomi, pendidikan dan pembangunan sosial masyarakat India.
Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, berkata program Uyarvu MADANI 2.0
menerima tambahan RM25 juta susulan sambutan tinggi terhadap siri pertama. Sebanyak 1,160 permohonan diterima dalam tempoh dua minggu pertama sebelum ini, namun hanya 700 pemohon layak menerima bantuan.
Bagi siri kedua, bantuan turut ditambah baik dengan RM20,000 untuk sektor mikro yang akan diberikan sepenuhnya kepada pemohon yang layak, manakala sektor growth dan high menerima sehingga RM35,000 secara berperingkat.
Dalam bidang pendidikan, MITRA menyediakan RM900,680 menerusi Program Pemerkasaan Bahasa Tamil SPM dan STPM yang memberi manfaat kepada 8,690 pelajar, termasuk 7,897 murid SPM dan 793 murid STPM.
Sementara itu, Program Bantuan Khas Siswa MADANI menyediakan RM10 juta untuk memberi bantuan RM2,000 kepada 5,000 pelajar B40 bagi menampung kos pengajian di IPTA dan IPTS. Permohonan dibuka dari 14 September hingga 31 Oktober.
MITRA turut menyediakan RM13.25 juta bagi Program Peranti MADANI untuk 5,000 mahasiswa B40, termasuk pelajar asasi, matrikulasi, STPM, diploma serta mahasiswa IPTA dan IPTS.
Selain itu, RM5.36 juta diperuntukkan bagi pembekalan 400 Smart Board kepada SJKT yang sebelum ini belum menerima kemudahan tersebut.
Program HARMONI MADANI pula menyediakan RM20,000 setiap satu kepada sehingga 250 Gurdwara dan gereja masyarakat India, manakala Program Pencegahan Jenayah bernilai RM250,000 akan dimulakan sebagai projek perintis melibatkan 700 murid SJKT di Melaka pada November 2026.
Secara keseluruhan, Ramanan berkata RM59.76 juta diumumkan menerusi tujuh inisiatif berkenaan, dengan kerajaan memastikan semua bantuan bagi tahun 2026 disalurkan sebelum penghujung tahun.




