Tiga geng curi kabel tumpas, tujuh suspek termasuk wanita ditahan

Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan polis dalam beberapa serbuan di Temerloh dan Mentakab antara Selasa hingga Sabtu lalu kerana disyaki terlibat dalam tiga geng curi kabel.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, suspek berusia 16 hingga 40 tahun dipercayai anggota Geng Mat Letrik, Geng Mista dan Geng Sasi.
Kumpulan itu disyaki terlibat dalam lima kes kecurian kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) sejak empat bulan lalu, dengan kerugian kira-kira RM100,000. Polis turut merampas kabel, sebuah kereta, lori dan alat pembuka ‘main hole’.
Empat suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala seorang didapati positif methamphetamine. Semua suspek direman sehingga Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 serta 431A Kanun Keseksaan.




