80 penduduk Cheras dipindahkan, tunggu keputusan keselamatan sebelum pulang

Kira-kira 80 penduduk dari 45 unit di Blok D, Pangsapuri Damai Perdana, Bandar Damai Perdana, Cheras diarahkan berpindah susulan kejadian tanah runtuh pada Selasa, 22 September, kira-kira jam 8 malam.
Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 6, Tan Kah Hoe berkata, penduduk hanya dibenarkan pulang selepas laporan teknikal mengesahkan struktur bangunan selamat. Pemeriksaan sedang dijalankan JKR, JPS, JMG dan MPKj, dengan laporan dijangka siap dalam beberapa hari.
Setakat semalam, seramai 15 keluarga terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Orang Ramai Desa Baiduri. Jabatan Kebajikan Masyarakat menguruskan makanan dan tempat tinggal, manakala polis membantu menjaga keselamatan kawasan.
Dalam perkembangan bekalan air, Blok A dan B kembali menerima bekalan pada pagi ini, manakala Blok C masih dalam proses pemulihan dan Blok D masih terputus bekalan. Tanah runtuh itu dipercayai berpunca daripada kebocoran air bawah tanah dan puncanya masih disiasat.




