Pelancong China maut selepas snorkeling di Pulau Pom Pom

Seorang wanita warga China berusia 66 tahun maut selepas tidak sedarkan diri ketika melakukan aktiviti snorkeling di perairan Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah, pada 4 Oktober.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Tan Hiap Wah, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika mangsa yang berasal dari Yunnan itu melakukan aktiviti berkenaan bersama keluarganya.
Mangsa dilaporkan berasa tidak selesa sebelum meminta dibawa naik ke bot. Namun, sebaik berada di atas bot, dia tidak sedarkan diri dan bantuan pernafasan CPR diberikan sebelum dibawa ke Hospital Semporna. Doktor kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Polis berkata mangsa mempunyai sejarah penyakit asma sejak kira-kira 10 tahun lalu.
Siasatan lanjut sedang dijalankan, manakala pengusaha pelancongan dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan pelancong ketika menjalankan aktiviti rekreasi air.




