Gelombang tsunami dikesan di pesisir Pantai Jepun

Gelombang tsunami setinggi 50 sentimeter dikesan di pesisir Jepun pagi Rabu selepas gempa bumi kuat melanda perairan berhampiran Semenanjung Kamchatka, Rusia.
Susulan itu, amaran tsunami sehingga 3 meter dikeluarkan bagi kawasan pesisir Pasifik di Hokkaido dan Honshu, manakala amaran gelombang setinggi 1 meter turut melibatkan Shikoku, Kyushu dan Okinawa.
Beberapa kawasan pantai dari Hokkaido hingga Ibaraki telah menerima gelombang antara 20 hingga 50 sentimeter, termasuk di Ishinomaki, Miyagi sekitar jam 11:28 pagi.
Penduduk di kawasan berisiko telah diarahkan berpindah ke kawasan lebih tinggi atau lokasi selamat, termasuk di Ibaraki dan Wakayama yang melibatkan lebih 175,000 penduduk.
Pusat kawalan khas ditubuhkan di Pejabat Perdana Menteri untuk memantau situasi dan menyelaras tindakan bersama pihak berkuasa tempatan.
Pihak berkuasa turut memberi amaran agar penduduk kekal berjaga-jaga kerana gelombang susulan mungkin lebih besar.



