“Ambil OKU bekerja lebih bagus, jarang MC, tak banyak kerenah” – Senator

Golongan orang kurang upaya (OKU) masih berdepan cabaran besar terutama dari segi peluang pekerjaan dan akses kepada pembiayaan perniagaan, kata Senator Isaiah Jacob.
Menurut Ahli Dewan Negara itu, ramai OKU mempunyai kemahiran serta disiplin kerja yang baik, namun terhalang oleh ketiadaan peruntukan undang-undang yang jelas untuk melindungi hak mereka dalam sektor pekerjaan.
“Bagi saya mengambil OKU sebagai pekerja lebih senang daripada orang biasa. Orang biasa selalu banyak masalah, kalau kita ambil dia tak akan datang kerja kadang-kadang MC banyak, dia bagi macam-macam alasan, lepas tu tiap-tiap tahun dia akan tuntut kenaikan gaji.
“Tapi OKU mereka ni tidak. lebih senang untuk mengandalkan mereka ni. So sebab saya kata bagi syarikat-syarikat ambil perkara-perkara seperti ni dan bagilah peluang kepada mereka,” katanya.
Bagaimanapun katanya, stigma serta kekangan struktur menyebabkan golongan ini terus terpinggir dan mereka yang mahu berniaga juga sukar mendapatkan pinjaman kerana sering dilabel berisiko tinggi.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan meminda Akta Orang Kurang Upaya bagi memperkukuh hak pekerjaan, akses dan perlindungan daripada diskriminasi, selain memasukkan sasaran peluang kerja termasuk kuota 1% ke dalam undang-undang.
Kerajaan juga disaran menguatkuasakan piawaian fasiliti mesra OKU, memperkasa peranan serta pembiayaan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), menjaga kebajikan petugasnya dan mewujudkan mekanisme penguatkuasaan serta penalti terhadap pihak yang gagal mematuhi hak OKU.
Tegasnya, hak OKU bukan isu sampingan, sebaliknya penanda aras sama ada negara benar-benar adil dan inklusif. Golongan itu bukan menagih simpati, tetapi menuntut hak yang sewajarnya.




